AL-MUHADDIS SYEIKH MAHMUD SAID MAMDUH ULAMA HADIS KESAYANGAN UMMAH
LATAR BELAKANG:
Beliau merupakan seorang ulama terkenal di Mesir yang lahir pada 10 Mac 1952, Bermazhab Syafi'e dan berpegang dengan aliran Asya'irah. Beliau berjaya memperolehi Ijazah Kedoktoran dari Universiti Muhammad ke-V Ribath pada tahun 2005 dan mempelajari ilmu syariat daripada ramai ulama. Beliau menetap di Makkah selama 6 tahun dan berguru dengan ulama kibar di tanah haram.
Antara gurunya yang terkenal terdiri daripada Syeikh Muhammad Isa ibn Yassin al-Fadani, Sayyid Abdullah ibn al-Siddiq al-Ghumari, Sayyid Abdul Aziz ibn al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ismail Uthman Zain al-Makki dan Syeikh Abdullah Said al-Lahji.
Ketika belajar dengan Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, beliau menjadi murid istimewa gurunya itu. Apabila mengajar, Syeikh Yaasin al-Fadani pasti akan meminta beliau untuk duduk di sebelah kanannya. Atas kepercayaan gurunya itu, beliau telah dilantik menjadi khalifahnya di Mesir.
Kepakarannya dalam bidang hadis mendapat perhatian dan pujian daripada ramai ulama besar dunia Islam. Seorang ulama yang tidak asing dalam dunia Islam, Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari menyatakan bahawa Syeikh Mahmud Said Mamduh telah menyelam dalam lautan hadis melalui jalan ahli hadis.
Bahkan, ramai dalam kalangan ulama mutaakhirin seperti al-Arif Billah Habib Umar bin al-Hafidz, sentiasa menasihati murid-murid mereka supaya membaca kitab penulisan beliau. Manakala Al-Allamah al-Muhadith Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki pula sering menjadikan kitab beliau sebagai rujukan kerana kepakarannya dalam bidang hadis.
Beliau juga dianggap sebagai seorang mutafannin pada zaman ini kerana penguasaan dan kepakarannya dalam pelbagai bidang ilmu. Kitabnya menjadi hujjah pada zaman ini. Sebagai individu yang meletakkan dirinya sebagai khadam hadis Nabi Muhammad SAW dan seorang pencinta dan pendokong kuat ahlul bait Nabi, beliau amat mencintai dan kuat mempertahankan ahlul bait Rasulullah SAW melalui lisan dan mata pena beliau.
ANTARA KITAB KARYA BELIAU:
Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan berjaya menghasilkan lebih daripada 30 buah kitab. Antaranya karya penulisannya adalah:
1. Tasynif al-Asma' bi Syuyukh al-Ijazah wa al-Sama' ( 2 jilid tebal ).
2. Wusul al-Tahani bi Ithbat Sunniyyah al-Subhah wa al-Rad 'ala al-Abani.
3. Tanbih al-Muslim fi Difa' an Sohih Muslim.
4. Raf'u al-Minarah bi Takhrij Ahadith al-Tawassul wa al-Ziarah.
5. Al-Ta'rif bi Auham man Qassama al-Sunnah ila Sohih wa Dhaif (6 jilid).
6. Al Ihtifal bi Ma'rifah al-Ruwah al-Thiqaat allazi laisu fi Tahzib al-Kamal (4 jilid).
7. Kafsy al-Sutur 'amma Usykila min Ahkam al-Qubur.
8. Ghayah al-Tabjil wa Tark al-Qat' fi al-Tafdhil.
9. Ittijihat Hadisiah fil Qorn Robi' Asyar ( 3 jilid ).
10. Mukjam Syuyukh ( Terbaru ).
________________________________________
Dipetik dari buku "BERCINTA DENGAN RASULULLAH SAW (Seolah-olah Kamu Melihatnya).
[Penulis: Mohammad Suhair Asyaraf dan Kata Pengantar: Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari.]
Sumber: https://bit.ly/358RPao
Sumber: https://bit.ly/358RPao
Post a Comment